
CYBERJAYA,: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan pengusaha shisha (paip air) untuk memastikan pematuhan agar perkhidmatan itu tidak disediakan di tempat-tempat larangan termasuk kedai makan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Norhayati Rusli berkata, perbincangan turut akan diadakan dengan Majlis Perbandaran Sepang untuk menimbangkan tindakan-tindakan lain bawah bidang kuasanya terhadap pengusaha shisha.
Selain itu, katanya, KKM akan meneruskan pemantauan susulan agar pengusaha shisha faham dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 memandangkan enam notis kesalahan dikeluarkan kepada individu yang menghisap shisha di kedai makan dalam Ops Tempat Makan di Selangor pada 5 dan 6 Mac lepas.
Dr Norhayati berkata, terdapat enam kedai yang menyediakan perkhidmatan shisha di Cyberjaya dan satu daripadanya telah dikenakan notis kesalahan sebanyak tiga kali namun masih berdegil.

“Tindakan susulan yang diambil adalah pemantauan berterusan oleh KKM untuk memastikan aktiviti penyediaan menghisap shisha dapat dikawal,” katanya kepada media selepas Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya malam tadi.
Dr Norhayati berkata, tujuan operasi penguatkuasaan adalah mendidik masyarakat tentang bahaya merokok dan menyeru agar orang ramai berhenti merokok.
Ditanya sama ada kompaun yang rendah punca masyarakat masih merokok di tempat makan, beliau berkata KKM perlu memperbanyak sesi pendidikan bukan sahaja kepada perokok malah kepada ahli keluarga dan komuniti.
Mengenai tindakan kepada individu yang menghisap rokok elektronik di tempat larangan, Dr Norhayati berkata, individu tersebut akan diberikan notis manakala sampel cecair rokok elektronik akan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi ujian makmal.
“Sekiranya ujian mendapati cecair tersebut mengandungi nikotin berasaskan tembakau maka kompaun akan dikeluarkan dibawah PPKHT 2004. Tindakan mengambil sampel untuk ujian ini akan diteruskan sehinggalah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan nanti,” katanya.
Pada Disember tahun lepas, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.
RUU itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).