Goodyear umum tutup kilang, Rafidah seru kerajaan segera bertindak

Goodyear umum tutup kilang, Rafidah seru kerajaan segera bertindak

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata pihak berkuasa mesti menganalisis faktor yang membawa kepada syarikat menutup operasi.

Rafidah Aziz mengulas pengumuman Goodyear bahawa ia akan menutup kilangnya di Shah Alam pada 30 Jun.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Rafidah Aziz menyeru kerajaan segera respons pada perkembangan sekitar rancangan penutupan kilang perusahaan Goodyear di Shah Alam.

Rafidah berkata kerajaan harus himpun maklumat menyeluruh bilangan syarikat yang telah menghentikan operasi di Malaysia dan menganalisis faktor di sebalik penutupan itu.

“Terkejut apabila terbaca berita tentang Goodyear, yang selepas sekian lama berada di sektor industri kita, membuat keputusan untuk menutup operasinya di Malaysia.

“Kita harus renung dan memahami perkembangan ini,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dalam kenyataan.

“Kerajaan harus segera respons pada perkembangan seperti ini. Sambil kita menguar-uarkan pelaburan berbilion nilai yang mungkin berlaku, serta jangkaan-jangkaan yang ditimbulkan dan dibincang, adalah amat penting entiti perindustrian dan perniagaan yang sudah bertapak tidak ‘tutup kedai’ dan berhijrah ke negara lain.”

Rafidah mengulas pengumuman Goodyear bahawa ia akan tutup kilangya di Shah Alam pada 30 Jun, langkah yang akan beri kesan pada 550 kakitangan.

Presiden Goodyear Asia Pacific, Nathaniel Madarang, berkata langkah itu sebahagian inisiatif transformasi “Goodyear Forward” untuk memperkemas operasi syarikat.

Kilang di Shah Alam itu mula beroperasi pada 1972.

Goodyear bertapak di Tanah Melayu sejak 1929 dan menjadi pembekal tayar untuk model kereta pertama negara, Proton Saga, pada 1985.

Rafidah berkata negara tidak boleh bergantung pada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, harus ada MoU terperinci merangkumi komitmen untuk memilih tapak dan pertimbangan-pertimbangan berkait tenaga kerja.

Beliau juga berkata jumlah dan nilai jualan tahunan dalam jangkaan, usahasama, dan maklumat relevan lain harus disertakan dalam sebarang MoU, terutama apabila ia disaksikan oleh perdana menteri atau menteri.

“Kita mesti jadikan Malaysia lokasi pilihan para pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.