
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penambahan itu berdasarkan permintaan, keperluan dan keupayaan komitmen KPM.
“Hala tuju kita setakat ini, kita akan memperluas prasekolah bawah institusi KPM. Prasekolah KPM ini percuma dan kita mahukan ibu bapa memilihnya,” katanya selepas sebuah program di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai.
“Sifat awal prasekolah ini bagi mengelakkan keciciran dan melakukan intervensi awal. Ia akan berlaku dengan pesat kerana kita akan mewajibkan di semua institusi KPM dan di semua 27 buah IPG.”
Beliau berkata, sebanyak 129 kelas prasekolah ditambah di seluruh negara tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 9,909, bagi memberi lebih ramai murid peluang mendapat pendidikan pada peringkat awal.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM akan memberi khidmat kaunseling serta bantuan selayaknya kepada Attar Azim Syukran Jamil, 9 yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, Kelantan, Sabtu lepas.