Pengarah imigresen P Pinang nafi kes aniaya, depot Juru sesak

Pengarah imigresen P Pinang nafi kes aniaya, depot Juru sesak

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim berkata tahanan diberi makan hingga empat kali sehari dan ditahan mengikut garis panduan ditetapkan.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim memberi amaran anggota terlibat kes penganiayaan di pusat tahanan akan dikenakan tindakan disiplin.
BUTTERWORTH:
Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim menafikan berlaku kes penganiayaan atau kesesakan di depot tahanan Juru, susulan laporan Human Rights Watch (HRW) mengenai layanan buruk di pusat tahanan seluruh negara.

Katanya, beliau sering melawat pusat tahanan itu dan mendapati tiada bukti berlaku penganiayaan, menyatakan kumpulan hak asasi manusia seperti Suhakam juga setuju dengan dapatannya.

“Tahanan di sini juga diberi makan tiga hingga empat kali sehari. Sekiranya berlaku sebarang kes penganiayaan, saya akan mengambil tindakan disiplin terhadap anggota terlibat.

“Kita perlu memenuhi tanggungjawab hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat imigresen negeri di Perai.

Laporan terbaharu HRW mendedahkan bekas tahanan mendakwa mereka didera secara fizikal dan ditahan dalam keadaan yang teruk.

Mereka juga mendakwa kanak-kanak ditahan bersama orang dewasa yang tiada hubungan keluarga.

Zulfa berkata, seramai 315 ditahan di depot Juru, yang kebanyakannya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia. Katanya, fasiliti itu mempunyai kapasiti maksimum 500 orang.

Katanya, mengikut prosedur ketika ini, kanak-kanak berusia bawah 13 tahun dibenarkan bersama ibu mereka, manakala remaja berusia 13 hingga 18 tahun diletakkan dalam sel bersama orang dewasa lain.

Menurutnya, satu lagi pusat tahanan dengan kapasiti 1,300 orang sedang dibina di Jawi berhampiran Nibong Tebal dan dijangka siap Julai ini.

Dalam perkembangan berasingan, Zulfa berkata tahun ini imigresen akan meningkatkan operasi kepada dua kali ganda berbanding lebih 400 tahun lalu kepada sekurang-kurangnya 800.

Katanya, imigresen juga akan memfokuskan penguatkuasaan terhadap majikan yang mengambil pekerja asing tidak memiliki dokumen sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.