
Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menegaskan, rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman selagi tidak mencetuskan sebarang rusuhan atau melakukan jenayah.
“Hak berhimpun hak rakyat Malaysia, apatah lagi dalam perhimpunan aman di negara ini, tak berlaku sebarang bentuk keganasan, rusuhan mahupun jenayah, (jadi) tak sepatutnya ada masalah apabila rakyat nak berhimpun secara aman.
“Tidak sepatutnya masa saya, masa pegawai kerajaan, masa pihak polis dihabiskan untuk menyoal siasat tentang isu perhimpunan aman.
“Kita sepatutnya hentikan segala jenis siasatan, intimidasi terhadap mereka yang berhimpun secara aman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas memberikan keterangan di IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung Himpunan Tolak DNAA yang diadakan pada 27 Jan lepas.
Amira yang juga Adun Puteri Wangsa turut mempersoalkan keperluan keterangannya diambil sedangkan beliau tidak menyertai perhimpunan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Amir Hadi menggesa kerajaan tidak berbolak-balik dalam melaksanakan reformasi, termasuk berkenaan perhimpunan aman.
“Suka saya ingatkan, dulu (ketika) kita ada Akta Polis dan kena mohon permit untuk buat perhimpunan, rakan kita dalam kerajaan sekarang lantang menentang.
“Pada 2012, kita gubal undang-undang baharu. Apabila Akta Perhimpunan Aman digunakan, rakan kita dalam kerajaan hari ini juga antara pihak mengkritik.
“(Jadi) kalau kita persoal komitmen kerajaan yang melaungkan reformasi selama ini, mereka tak boleh nak salahkan kita,” katanya.
Terdahulu, Amira tiba di IPD Dang Wangi untuk memberikan keterangan pada 5 petang, ditemani peguam Muda, Nurainie Haziqah Shafii.