Jajaran PJD Link perlu penambahbaikan, kata exco Selangor

Jajaran PJD Link perlu penambahbaikan, kata exco Selangor

Izham Hashim berkata, laporan penilaian impak sosial mendedahkan hampir 50% aduan tertumpu pada jajaran di sebelah Petaling Jaya.

Exco Selangor Izham Hashim berkata, laporan penilaian impak sosial menunjukkan sejumlah tinggi aduan adalah daripada penduduk di Petaling Jaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor memutuskan bahawa jajaran cadangan projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) memerlukan penambahbaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata, laporan penilaian impak sosial (SIA) mendedahkan bahawa hampir 50% aduan diterima daripada penduduk di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, katanya, penduduk di Puchong nampak bersetuju dengan projek itu.

“Jadi kita telah buat ketetapan bahawa perlu ada penambahbaikan pada jajaran ini.

“Ini saja keputusan yang kita (kerajaan negeri) buat… dan kita serahkan balik kepada tuan punya iaitu kerajaan persekutuan untuk membuat keputusan seterusnya,” katanya dalam sidang DUN Selangor.

Izham menjawab ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei yang menggesa isu PJD Link dimuktamadkan, dengan mencadangkan ia tidak berterusan dimulakan semula menggunakan nama baharu.

Pada 24 Feb, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menggesa pemaju cadangan lebuh raya berkenaan merunding semula jajaran projek itu dengan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, selepas pilihan raya negeri pada Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan SIA daripada PJD Link (M) Sdn Bhd, yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk tempat lain membantahnya.

Beliau berkata, jika perubahan dibuat pada jajaran, pemaju perlu bermula dari awal termasuk berunding semula dengan Putrajaya.

Tahun lalu, Amirudin dilaporkan berkata kerajaan negeri PH memutuskan membatalkan projek PJD Link. Katanya, laporan penilaian impak, khususnya SIA yang diserahkan pemaju tidak memuaskan dan tidak menepati syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara and Bukit Jalil Technology Park.

Cadangan pembinaan lebuh raya itu diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 2017 sebelum dibawa kepada Kerajaan Selangor.
Pada September 2020, kerajaan Selangor meluluskan secara dasar projek PJD Link, tertakluk kepada penerimaan laporan-laporan penilaian impak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.