Hisham Hamdan ketua pegawai pelaburan baharu Khazanah

Hisham Hamdan ketua pegawai pelaburan baharu Khazanah

Pelantikan Hisham Hamdan sebagai CIO baharu Khazanah berkuat kuasa hari ini.

Hisham Hamdan, 57, pernah berkhidmat dengan Sime Darby Bhd sebelum menyertai Khazanah Nasional Bhd pada April 2011. (Gambar Khazanah)
KUALA LUMPUR:
Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelantikan Hisham Hamdan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) baharunya berkuat kuasa hari ini.

Khazanah dalam kenyataan berkata, pelantikan Hisham membolehkan tumpuan yang lebih besar untuk membina keupayaannya sebagai institusi pelaburan dan mencipta kapasiti dan keupayaan baharu, terutamanya untuk mencapai matlamat penciptaan nilai dan impak syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah Amirul Feisal Wan Zahir percaya pengalaman luas dan pengetahuan Hisham akan menjadi aset kepada usaha berterusan Khazanah dalam menyediakan organisasi untuk membina kapasiti yang diperlukan, serta menginstitusikan pembangunan bakat.

“(Perkara) ini, bersama-sama dengan strategi jangka panjang memajukan Malaysia, akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan dalam menghadapi keadaan pasaran global yang mencabar,” tambahnya.

Hisham, 57, pernah berkhidmat dengan Sime Darby Bhd sebelum menyertai Khazanah pada April 2011.

Beliau memegang dua ijazah dalam Kejuruteraan Kimia dan Pengurusan Industri daripada Purdue University, Amerika Syarikat dan pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.