Felda rugi RM1 bilion pada 2022, meningkat 2 kali ganda

Felda rugi RM1 bilion pada 2022, meningkat 2 kali ganda

Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2022 menasihatkan Felda merencana arah jelas ke arah operasi tanpa terus bergantung pada bantuan kewangan dari Putrajaya.

Felda juga berhutang RM8.66 bilion pada 2022, menurun sedikit berbanding RM8.8 bilion pada tahun sebelumnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Felda merekodkan kerugian RM1 bilion pada 2022, hampir dua kali ganda berbanding kerugian RM545 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan agensi persekutuan bagi 2022.

Dalam laporan itu, ketua audit negara berkata Felda juga berhutang RM8.66 bilion dengan kerajaan persekutuan pada 2022, menurun sedikit berbanding RM8.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Laporan itu menasihatkan Felda, merencana arah jelas ke aras operasi tanpa bantuan kewangan tambahan daripada Putrajaya.

Katanya, Felda “terlalu bergantung pada bantuan kewangan dari kerajaan persekutuan”, menerima geran berjumlah RM200 juta pada 2022 berbanding RM342 juta pada 2021.

“Pengurangan geran yang diterima Felda ini menjejaskan kelangsungan operasinya.”

Laporan itu turut menasihatkan Felda meningkatkan pemantauan terhadap syarikat subsidiarinya bagi memastikan kelestariannya dapat dikekalkan dan terus berdaya maju tanpa bergantung kepada agensi induk serta berupaya memberi pulangan baik kepada Felda.

Menurutnya, Felda mempunyai pinjaman di peringkat kumpulan, termasuk perjanjian kemudahan pembiayaan tawarruq dengan GovCo Holdings Bhd berjumlah RM2.5 bilion.

“FICP gagal membayar balik pinjaman tersebut menyebabkan Felda telah memeterai perjanjian baharu dengan GovCo sebagai jaminan korporat bagi kemudahan pembiayaan tawarruq tersebut.”

Isu dengan PR1MA, LTAT

Menurut laporan itu, kedudukan tunai dan kesetaraan tunai PR1MA pada 31 Dis 2022 berjumlah RM0.428 bilion, jadi ia akan berdepan kesukaran membayar balik sukuk tranche 2 berjumlah RM1.75 bilion pada Oktober 2024.

Ia mengesyorkan PR1MA memastikan unjuran aliran tunai daripada hasil penjualan unit rumah dapat membiayai aktiviti operasi dan pelunasan pembayaran sukuk tranche 2.

Sementara itu, laporan itu berkata, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam 13 anak syarikat, termasuk Boustead Holdings Bhd (BHB) dan Pharmaniaga Bhd.

“Ini menyebabkan untung bersih bagi tahun ini dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion,” katanya merujuk BHB dan Pharmaniaga.

LTAT mempunyai baki rizab negatif sejak 2020 dan kerugian tidak nyata berjumlah RM0.662 bilion daripada 41 portfolio saham lama.

Ketua juruaudit negara menasihatkan LTAT menstruktur semula strategi pelaburannya, meningkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dan memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum layak.

Laporan itu turut menyatakan empat agensi persekutuan belum menyerahkan penyata kewangan mereka untuk 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.