Ahli Parlimen Jerlun tarik balik dakwaan kerajaan ‘rai kemenangan’ kes Nik Elin

Ahli Parlimen Jerlun tarik balik dakwaan kerajaan ‘rai kemenangan’ kes Nik Elin

Abd Ghani Ahmad menarik balik kenyataan itu selepas diminta Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Abd Ghani Ahmad memperbetulkan kenyataannya pada perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menarik balik kenyataan mendakwa kerajaan meraikan kemenangan dalam pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) bertindak sedemikian selepas diminta Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang menegur perkataan kerajaan meraikan dan merayakan itu “amat menikam”.

Syahredzan Johan (PH- Bangi) ketika mencelah percaya dakwaan itu hanya bertujuan untuk “content” di media sosial TikTok.

Terdahulu, Ghani berkata beliau kecewa melihat pihak kerajaan seakan meraikan dan merayakan keputusan berhubung petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

“Nik Elin sangat gembira kerana masa ini seluruh jentera kerajaan persekutuan seakan-akan mendukung tindakan dan kemenangannya.

“Kerajaan Madani dan segala agensinya tangkas merayakan dan meraikan keputusan yang bakal lenyapkan sedikit demi sedikit bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya sebelum memperbetulkan kenyataannya itu dalam perbahasan titah diraja.

Pada 9 Feb, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berkata pemfailan petisyen tu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.