Tunggakan royalti minyak Terengganu, Samsuri minta penjelasan Anwar

Tunggakan royalti minyak Terengganu, Samsuri minta penjelasan Anwar

Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini mendakwa kerajaan negeri belum menerima royalti minyak RM1 bililon daripada Putrajaya.

Pada Dis lalu, Anwar Ibrahim berkata royalti petroleum disalurkan secara terus menerusi projek kesejahteraan penduduk tanpa melalui kerajaan Terengganu. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang meminta penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung tunggakan pembayaran wang royalti minyak negeri itu untuk tahun lalu.

Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang juga menteri besar Terengganu berkata tindakan menekan rakyat negeri itu berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang menjadi antara tonggak nilai pentadbiran kerajaan Malaysia Madani.

Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Tentunya kerajaan madani tidak mahu dibaca dalam buku sejarah atau generasi akan datang sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti berkenaan yang masih berbaki untuk 2023.

“Sehubungan itu,saya meminta penjelasan daripada perdana menteri dan menteri kewangan (Anwar) sila jelaskan kepada kami, apa kebaikan atau objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan pusat dengan memberi kesukaran kepada Terengganu sedemikian rupa,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada kempen PRK Kemaman Nov tahun lalu, Anwar menjelaskan wang ihsan royalti petroleum tetap dinikmati rakyat Terengganu namun disalurkan secara terus menerusi projek kesejahteraan penduduk tanpa melalui kerajaan negeri.

Sebelum itu, Samsuri dalam sidang DUN membangkitkan bahawa kerajaan negeri masih belum menerima anggaran RM1 bilion wang royalti minyak yang sepatutnya diterima pada 2023 daripada kerajaan persekutuan.

“Seramai 1.2 juta rakyat Terengganu harapkan royalti petroleum atau wang Ihsan yang kita terima sejak sekian lama agar diteruskan bayaran tanpa kelewatan mengikut jadual yang diamalkan puluhan tahun,” tambah Samsuri ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja.

Sementara itu, beliau menggesa semua pihak baik dari wakil kerajaan mahupun pembangkang menghentikan politik dendam serta diskriminasi warna politik, yang menurutnya akan membawa negara ke belakang.

“Jika tidak dibendung kitaran ganas ini akan terus berulang dan terus berulang. Maka, saya menyeru dan mengajak semua pemimpin politik untuk menghentikan kitaran ganas ini sama ada dari sebelah sini atau dari sebelah sana.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.