
P Gananathan yang mewakili SRC International selaku peguam berkata, penglibatan Najib dan Nik Faisal sangat besar “dalam penipuan dan tingkah laku tidak jujur terhadap SRC”.
“Penipuan dan tingkah laku tidak jujur mereka dapat dilihat menerusi hakikat bahawa mereka mendapat keuntungan peribadi daripadanya,” katanya.
“Secara diam-diam dan berselindung di sebalik pihak lain, Najib sebenarnya menjadi kaya apabila USD120 juta dimasukkan ke dalam akaun banknya, manakala Nik Faisal menerima sejumlah USD2 juta, dibayar melalui ‘shell company’,” katanya.
Ketika menyampaikan pernyataan pembukaan pada perbicaraan saman sivil terhadap kedua-dua individu tersebut, Gananathan berkata, Nik Faisal diletakkan sebagai “mata dan telinga” Najib dalam syarikat itu dan anak syarikatnya di luar negara.
“Nik Faisal ialah proksi dipercayai bekas PM itu dalam semua perkara yang melibatkan SRC, termasuk kewangan,” katanya.
“Akan dibuktikan juga bahawa beliau menerima arahan langsung daripada Najib dan membuat representasi kepada lembaga pengarah SRC.”
Peguam itu berkata, tindakan Najib dan Nik Faisal “memudaratkan” SRC dan melucutkan hak orang awam ke atas harta yang dipegang bagi pihak mereka.
“SRC ditubuhkan ‘sebagai tonggak kepada pembangunan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia untuk rakyat’,” katanya.
“Bagaimanapun, SRC menjadi alat untuk penipuan berskala besar, (merangkumi) pelbagai bidang kuasa yang didalangi oleh bekas PM itu melalui peranannya sebagai menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC.”
Beliau berkata, antara 2011 dan 2012, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) memberikan pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC.
Sebahagian besar daripada pinjaman itu, sebanyak RM3.6 bilion, dipindahkan ke akaun bank di Switzerland dan kini dibekukan oleh kerajaan negara itu, tambahnya.
Gananathan berkata, SRC mahu mahkamah mempertanggungjawabkan Najib dan Nik Faisal atas tindakan mereka dan membayar kerajaan RM4 bilion. Syarikat itu juga mahu Najib memulangkan USD120 juta, dan Nik Faisal USD2 juta.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin.