
Kesemua syarikat itu memaklumkan perkembangan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mereka bertemu dengan beliau di Melbourne pada Selasa dalam lawatan rasminya selama empat hari ke Australia.
Tengku Zafrul berkata, antara aktiviti pelaburan yang akan dibawa masuk ke Malaysia termasuk teknologi hijau dan tenaga guna baharu.
“Insya-Allah, komitmen tujuh syarikat itu (pelaburan baharu dan menambah pelaburan) kini pada peringkat akhir,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Melbourne pada Selasa.
Anwar yang juga menteri kewangan mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan dan eksekutif kanan 18 syarikat terkemuka Australia dalam sesi perbincangan meja bulat pada Selasa, selain mengadakan sesi bersemuka untuk mendengar pandangan mereka.
Menurut Tengku Zafrul, Anwar turut bertemu wakil Lynas pada Selasa dan sebarang isu berbangkit berkaitan syarikat pengeluar nadir bumi itu berjaya diselesaikan.
Dalam sesi meja bulat pula, Tengku Zafrul berkata, antara perkara yang dibangkitkan oleh syarikat yang hadir adalah mengenai proses memudah cara pelaburan dan perdagangan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan peranan Malaysia dalam perdagangan global.