Kenaikan SST akan beban rakyat jika peniaga kurang jujur, kata pakar ekonomi

Kenaikan SST akan beban rakyat jika peniaga kurang jujur, kata pakar ekonomi

Barjoyai Bardai berkata terdapat kes pencatutan apabila cukai baharu diperkenalkan di banyak negara tetapi di Malaysia amalan itu berleluasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan Ops Kesan pada Sabtu untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan SST. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebarang sistem percukaian tidak langsung akan membawa kesukaran kepada rakyat jika operator perniagaan kurang jujur dan memilih untuk mengaut keuntungan, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pencatutan perkara biasa di banyak negara tetapi amalan itu berleluasa di Malaysia.

Beliau bimbang peniaga akan mengambil kesempatan daripada kenaikan 2% cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang berkuat kuasa 1 Mac lalu, untuk mengaut keuntungan.

Kenaikan itu tidak melibatkan makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi dan logistik, termasuk penghantaran barangan dan perkhidmatan tempat letak kereta.

Barjoyai Bardai.

“Saya mempunyai pandangan berbeza mengenai justifikasi kerajaan untuk kenaikan ini. Bagaimanapun, ini bukan masanya untuk berdebat kerana ia sudah dilaksanakan,” katanya kepada FMT.

“Kebimbangan terbesar saya adalah amalan pencatutan, terutama oleh peniaga yang tidak terjejas dengan kenaikan SST. Mana-mana sistem cukai tidak akan berjaya jika amalan pencatutan berleluasa.”

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan Ops Kesan pada Sabtu untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan SST dan menaikkan harga produk secara tidak munasabah.

Barjoyai mencadangkan kerajaan menjalankan kajian mengapa sesetengah peniaga mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan sedangkan mereka tahu ia akan memberi kesan terutama kepada isi rumah B40 dan M40.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2015 adalah contoh jelas bagaimana ketidakjujuran dan penguatkuasaan lemah terhadap rejim cukai itu menimbulkan kesukaran di Malaysia, sedangkan ia berjaya di negara seperti Singapura, Indonesia dan Australia.

“Apabila anda memperkenalkan GST, pasti ada penurunan harga kerana ia sepatutnya menghapuskan cukai atas cukai dan sebarang kesan lebih besar. Dengan ini, harga barang akan turun seperti dialami di negara seperti Singapura, Australia dan Indonesia.

“Di Malaysia, kita mengharapkan ia akan berlaku selepas kira-kira enam bulan, tetapi ia tidak pernah berlaku. Mengapa?

“Ia kerana amalan pencatutan kerana banyak perniagaan tidak cukup jujur untuk mengurangkan harga dan mengembalikan lebihan kepada pengguna,” katanya.

GST digantikan sepenuhnya dengan SST sebanyak 6% pada 1 Sept 2018 selepas Pakatan Harapan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Dalam apa keadaan sekali pun, Barjoyai berkata terdapat keperluan untuk kerajaan melakukan pembaharuan rejim cukai dengan mempertimbangkan lebih banyak cukai langsung berbanding memperkenalkan cukai tidak langsung dari semasa ke semasa.

“Kita tahu Malaysia mengutip cukai paling rendah di rantau ini, sebanyak 11.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Banyak negara, terutama yang kaya dengan sumber asli, menyumbang 20% kepada KDNK.

“Hanya terdapat kira-kira dua juta pembayar cukai individu di negara ini. Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyusun semula rejim cukai dengan mengkaji sistem yang berjaya di beberapa negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.