Tuan Ibrahim cadang mansuh tol Gombak, Karak elak sesak ke Pantai Timur

Tuan Ibrahim cadang mansuh tol Gombak, Karak elak sesak ke Pantai Timur

Ahli Parlimen PAS berkata empat tol terpaksa dilalui pengguna iaitu Gombak, Bentong, Karak dan laluan keluar menyebabkan kesesakan melampau.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Plaza Tol Gombak dan Karak tidak perlu diadakan kerana melambakkan dan menyesakkan kenderaan di lebuh raya itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menggesa kerajaan memansuhkan Plaza Tol Gombak dan Karak dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu-lintas bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur.

Katanya, jumlah empat tol terpaksa dilalui pengguna iaitu Gombak, Bentong, Karak dan laluan keluar menyebabkan kesesakan melampau.

“Sedangkan untuk meringankan beban pengguna, kerajaan kena guna dua kaedah (hanya ada tol) sewaktu keluar dan masuk (lebuh raya) sahaja.

“Dua tol perlu dihapuskan. Plaza Tol Gombak dan Karak tidak perlu diadakan sebab melambakkan dan menyesakkan kenderaan di lebuh raya tersebut,” katanya di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyambut baik cadangan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang sebelumnya mencelah adakah terdapat keperluan menghapuskan semua tol di negara ini.

“Saya nak cakap tadi tapi tak sampai hati, kalau Kuala Terengganu cadang saya sangat menyokong, terutama tol Gombak, ini antara tol terawal di Malaysia, sepatutnya dihapus dulu sebelum tol lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.