Siasatan MH370 dibuka semula jika ada bukti baharu, kata PM

Siasatan MH370 dibuka semula jika ada bukti baharu, kata PM

Anwar Ibrahim berkata ia adalah isu memberi kesan terhadap kehidupan rakyat dan apa sahaja akan dilakukan jika ada bukti baharu serta kukuh.

Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan kru hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. (Gambar Reuters)
MELBOURNE:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedia membuka semula siasatan insiden kehilangan pesawat MH370 hampir sedekad lalu jika ada bukti baharu dan kukuh.

“Mengenai insiden membabitkan (MH)370, kami telah mengambil pendirian bahawa jika ada bukti kukuh yang memerlukan kes itu dibuka semula, kami pasti akan berbuat demikian.

“Saya dengan sukacita bersedia membuka semula kes ini. Ia adalah isu yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat dan apa sahaja yang perlu dilakukan, harus dilakukan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Melbourne sempena lawatan rasmi ke Australia.

Sidang media itu mendahului Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia (ALM) Kedua, yang buat julung kali berlangsung secara bersemuka antara pemimpin dan pegawai tinggi kedua-dua negara sejak ia diperkenal pada 2021.

Tarikh 8 Mac ini adalah ulang tahun ke-10 tragedi kehilangan pesawat malang itu.

Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Albanese pula mengakui beliau memahami kesedihan dan kesengsaraan dialami ahli keluarga mangsa.

“Kami memahami bahawa ini adalah saat yang begitu sukar kepada ahli keluarga mangsa kerana mereka gagal mendapat kepastian dengan misi pencarian yang berjaya. Ia amat sukar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.