PAS juga mahu tanding kerusi ‘6 Jahanam’ Bersatu

PAS juga mahu tanding kerusi ‘6 Jahanam’ Bersatu

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata bagaimanapun ia perlu menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Mohd Amar Nik Abdulah berkata PAS sedia berdepan PRK jika kerusi Ahli Parlimen Bersatu dikosongkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS sedia berdepan PRK jika kerusi Ahli Parlimen Bersatu dikosongkan, kata Naib Presiden Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata ia perlu menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dan proses itu mengambil masa agak lama.

“Mengikut maklumat yang kita terima, pimpinan Bersatu bersetuju meminda perlembagaan dan menerusi perlembagaan itu, mana-mana ahli yang keluar atau memberi sokongan kepada parti lain akan terlucut jawatan mereka.

“Pindaan berkenaan perlu mendapat kelulusan RoS (JPPM), prosesnya lama dan tidak tahu bila (lengkap). Namun jika kata berlaku PRK, kita bertandinglah,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Kelantan.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan Bersatu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong perdana menteri, selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.