Ocean Infinity kecilkan kawasan pencarian MH370

Ocean Infinity kecilkan kawasan pencarian MH370

Firma penjelajahan laut dalam itu berharap dapat meneruskan pencarian pesawat yang hilang tersebut yang dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi, 10 tahun lalu.

Kapal yang digunakan Ocean Infinity dalam misi pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang, dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi. (Gambar Ocean Infinity)
PETALING JAYA:
Firma penjelajahan laut dalam, Ocean Infinity berharap dapat meneruskan pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang, dengan pakar berpendapat mengecilkan kawasan pencarian kepada satu kawasan yang berpotensi berjaya.

CEO Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata syarikat itu berharap “dapat meneruskan pencarian tidak lama lagi” selepas kerajaan menjemput firma itu berbincang mengenai cadangan menyambung semula misi tersebut, yang ditamatkan lima tahun lalu.

Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mendedahkan beliau mengarahkan kementeriannya mempelawa Ocean Infinity untuk satu mesyuarat mengenai cadangan terbaru firma itu mencari MH370.

Pesawat MH370 yang membawa 229 penumpang dan 12 kru hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Saintis yang menggunakan data satelit berkata pesawat itu membuat pusingan U di Laut China Selatan, terbang melintasi semenanjung dan Sumatera sebelum terhempas di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

“Mencari MH370 dan memberi sedikit harapan kepada semua yang mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat itu sering berlegar di fikiran kami sejak kami meninggalkan selatan Lautan Hindi pada 2018,” kata Plunkett dalam satu kenyataan.

Katanya, firma itu bekerjasama dengan ramai pakar, sebahagian diluar Ocean Infinity untuk terus menganalisa data dengan harapan dapat mengecilkan kawasan pencarian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.