MoF disaran kecuali SST bagi 23 amalan perubatan

MoF disaran kecuali SST bagi 23 amalan perubatan

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, semua kategori itu merupakan amalan perubatan sangat diperlukan dalam kehidupan rakyat ketika ini.

Terapi fisio, psikologi dan terapi cara kerja antara 23 kategori amalan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) disaran mengkaji pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi 23 kategori amalan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata terapi fisio, psikologi dan terapi cara kerja antara amalan di bawah akta itu yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya difahamkan KKM telah meminta pengecualian daripada MoF, namun belum ada keputusan.

“Semua kategori ini merupakan amalan perubatan yang sangat diperlukan dalam keadaan persekitaran kehidupan kita ketika ini,” katanya ketika membahas titah Diraja di Dewan Rakyat.

Semua 23 kategori profesion kesihatan bersekutu merangkumi tiga kumpulan perkhidmatan, iaitu klinikal, makmal dan kesihatan awam, termasuk ahli audiologi, ahli dietetik, ahli entomologi (kesihatan awam), ahli fisioterapi, ahli fizik perubatan, ahli pemakanan dan ahli psikologi klinikal.

Terdahulu, MoF mengecualikan tujuh kategori perubatan tradisional di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 daripada SST.

Antara perubatan tradisional yang dikecualikan daripada SST ialah akupunktur, perubatan tradisional Melayu, homeopati dan amalan pengubatan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.