
Notis untuk perarakan itu, yang akan berlangsung di ibu negara pada Sabtu, diterima pagi tadi.
Razarudin berkata polis perlu pertimbang beberapa perkara apabila diberi suatu notis, seperti penganjur perlu perolehi kebenaran untuk menggunakan sesuatu tempat.
“Tetapi saya akan periksa dengan ketua polis daerah,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman.
Semalam, Women’s March Malaysia (WMMY), yang menganjurkan perarakan tersebut, mengkritik polis kerana menolak empat notis mereka tanpa sebarang penjelasan.
Dalam pada itu, Razarudin berkata beberapa pegawai polis mungkin menggunakan istilah yang salah apabila menyatakan permit diperlukan untuk menganjurkan himpunan.
“Ketua polis daerah mungkin tersilap apabila guna istilah ‘permit’ sedangkan mereka maksudkan ‘notis’,” katanya.
Akta Perhimpunan Aman (APA) menetapkan penganjur perlu memberikan notis selewat-lewatnya lima hari untuk menganjurkan suatu perhimpunan.
Razarudin mengulas kritikan bekas pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, berhubung kekeliruan selepas polis memberitahu penganjur bahawa permit diperlukan.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Razarudin mendidik polis bahawa permit tak lagi diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan.
“Jadi isunya ialah sepatutnya ‘notis’, bukan ‘permit’,” kata Razarudin.
Ketua polis negara juga berkata Perkara 10(2) Perlembagaan mengimbangi hak rakyat dan ketenteraman awam.
Katanya lagi, Seksyen 10 APA juga menetapkan penganjur perlu isi suatu borang yang mana mereka perlu jawab 14 soalan.