Kos sara hidup punca cerai tinggi di Selangor, kata exco

Kos sara hidup punca cerai tinggi di Selangor, kata exco

Peningkatan pendapatan tidak selari kenaikan kos sara hidup mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.

Exco Selangor berkata pembangunan pesat juga salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di negeri itu. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kos sara hidup tinggi di Selangor antara punca utama kes perceraian di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Mohammad Fahmi Ngah.

Katanya, peningkatan pendapatan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup itu mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.

“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan, maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.

“Disebabkan kesibukan bekerja, masa berkualiti bersama anak berkurangan terutama bagi mereka yang berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian,” katanya pada sidang DUN Selangor, menurut Berita Harian.

Beliau menjawab pertanyaan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong perceraian tinggi di Selangor berbanding negeri lain pada 2023.

Fahmi berkata, migrasi dalaman membabitkan penduduk dari luar Selangor, migrasi antarabangsa yang datang bekerja di Lembah Klang, selain tawaran peluang pekerjaan tinggi menyumbang kepada bilangan penduduk tinggi di negeri itu.

“Penduduk luar yang bernikah di luar negeri ini dan kemudian bekerja dan bermastautin di sini sudah tentunya akan mendaftarkan perceraian mereka di Selangor.

“Ini kerana setiap masalah berkaitan institusi kekeluargaan yang timbul akan didaftarkan dan diselesaikan berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon,” katanya.

Katanya, pembangunan pesat di Selangor juga salah satu faktor menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di negeri itu.

“Pertumbuhan ekonomi rancak di Lembah Klang mengakibatkan Selangor menjadi hab utama bagi semua sektor pembangunan ekonomi. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan mengakibatkan kadar komposisi penduduk di Selangor meningkat,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan kajian menyeluruh dilakukan pakar penyelidik daripada institusi atau agensi untuk mengenal pasti punca perceraian di Selangor.

“Hasil kajian ini kelak boleh diguna pakai oleh kerajaan negeri atau agensi berkaitan untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.