Kamu buat apa untuk TMM2026, Mas Ermieyati soal Tiong

Kamu buat apa untuk TMM2026, Mas Ermieyati soal Tiong

Ahli Parlimen Bersatu berkata beliau tidak melihat usaha dilakukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selain menteri sering terpalit kontroversi.

Mas Ermieyati Samsudin tidak nampak persediaan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya diterajui Tiong King Sing bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
PETALING JAYA:
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mempersoalkan persediaan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya diterajui Tiong King Sing untuk Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bersatu mendakwa tidak melihat usaha dilakukan kementerian itu selain menteri yang sering terpalit kontroversi.

“Sampai ke hari ini, minta maaf cakap saya tidak nampak apa-apa persediaan dibuat oleh kementerian untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia sebagaimana yang disebutkan tadi.

“Sebaliknya kita dihidangkan dengan pelbagai kontroversi dicetuskan oleh menteri.

“Apakah tema akan diperkenalkan kementerian sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 ini? Apakah perkara utama ingin ditonjolkan sebagaimana tahun 1990 dan 2007 hingga 2026 ini dipilih sebagai Tahun Melawat Malaysia?

“Apakah ‘tagline’ akan digunakan untuk menarik pelancong asing datang beramai-ramai ke Malaysia dua tahun lagi? Berapakah ‘target’ kemasukan pelancong pada 2026? soalnya meragui kesediaan kementerian itu.

Tiong sebelum ini terpalit kontroversi apabila mengambil keputusan menurunkan jawatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Ammar Abd Ghapar atas alasan tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

Beliau turut dikritik kerana mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara.

“Kita nak dengar, kita nak tahu, kita nak lihat apakah misi dan juga visi daripada menteri menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini, khususnya untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tetapi yang dihidangkan oleh menteri adalah kontroversi penurunan pangkat ketua pengarah Tourism Malaysia, dalam banyak-banyak makanan warisan sup bak kut teh yang diwartakan sebagai makanan warisan,” kata Mas Ermieyati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.