Cari dana untuk skim perubatan di 70 daerah, kata Syed Saddiq

Cari dana untuk skim perubatan di 70 daerah, kata Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata janji kerajaan untuk memperluaskan Skim Perubatan Madani telah diputarbelitkan tidak sampai setahun pelaksanaannya.

Di bawah skim perubatan Madani, golongan berpendapatan rendah B40 boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta pada kadar subsidi.
PETALING JAYA:
Kerajaan harus mencari peruntukan untuk memastikan Skim Perubatan Madani tersedia di 70 daerah di seluruh negara seperti yang dirancang pada asalnya, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata janji yang dibuat dalam Belanjawan 2024 itu telah diputarbelitkan tidak sampai setahun pelaksanaannya, merujuk kepada kenyataan menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad bahawa program itu kini hanya akan memberi tumpuan kepada 10 daerah tertentu.

Syed Saddiq mempersoalkan ketidakupayaan kerajaan melaksanakan skim itu di seluruh negara, yang membolehkan kumpulan berpendapatan rendah B40 mendapatkan rawatan di klinik swasta pada kadar subsidi kerajaan.

Beliau berkata peruntukan RM100 juta yang diperlukan hanya mewakili sebahagian kecil daripada belanjawan fiskal kerajaan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sahaja sudah hampir RM40 juta, manakala di bawah Jabatan Perdana Menteri pula hampir setengah bilion. Apabila janji sudah dibuat dalam belanjawan, (hanya) tunaikanlah,” kata Saddiq dalam podcast oleh PAS TV.

Beliau turut mempersoalkan mengapa skim itu dihadkan kepada 10 daerah sahaja yang sebahagiannya di Selangor, sebuah negeri yang dipercayai mempunyai skim perubatan sendiri untuk penduduknya.

Pada Jumaat, Dzulkefly menafikan bahawa Skim Perubatan Madani akan dibatalkan, sebaliknya berkata ia akan diteruskan dengan kerjasama klinik swasta dengan tumpuan kepada 10 daerah tertentu, bagi mengurangkan kesesakan pesakit dan masa menunggu di jabatan kecemasan.

Pelaksanaan skim itu kini hanya akan tertumpu di Kuala Lumpur; Gombak, Hulu Langat, Petaling dan Klang di Selangor; Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Dalam pengumuman Belanjawan 2024 tahun lalu, Anwar mengumumkan skim perubatan itu akan diperluaskan tahun ini dengan peruntukan RM100 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.