60,843 unit Rumah Selangorku dilancar setakat Januari

60,843 unit Rumah Selangorku dilancar setakat Januari

Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata sebanyak 37,008 unit telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli.

Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah, kerajaan negeri tahun ini menyasarkan 5,997 unit lagi Rumah Selangorku akan siap dibina manakala 17,229 unit akan mula dibina. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Sebanyak 60,843 unit Rumah Selangorku dilancarkan setakat 31 Jan lepas daripada 200,000 yang dijanjikan dalam manifesto PRN tahun lalu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, berkata daripada jumlah yang dilancarkan, sebanyak 37,008 unit telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli manakala baki 23,835 unit sedang dalam peringkat pembinaan.

Beliau berkata untuk 2024, kerajaan negeri menyasarkan 5,997 unit lagi akan siap dibina manakala 17,229 unit rumah akan memulakan pembinaan di lapangan.

“Untuk mencapai sasaran tersebut juga, pembinaan kediaman komersial seperti pangsapuri perkhidmatan mampu milik akan diambil kira,” katanya pada Persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) berhubung status pembinaan 200,000 Rumah Selangorku yang dijanjikan dalam manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN yang lepas.

Pada PRN Selangor yang berlangsung Ogos tahun lepas, gabungan PH-BN menerusi tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun antara lain menjanjikan pembinaan 200,000 rumah Kediaman Kita Selangor dalam tempoh lima tahun sebagai tawaran sekiranya dipilih membentuk kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.