Kerajaan timbang pencarian baharu MH370

Kerajaan timbang pencarian baharu MH370

Menteri pengangkutan mahu Ocean Infinity memberi taklimat berhubung cadangan terbaharu mereka untuk mencari pesawat hilang itu.

Loke Siew Fook berharap sebarang pencarian baharu akan menemui sesuatu bagi memberi penutupan kepada waris mangsa MH370.
SUBANG JAYA:
Kerajaan sedia berbincang dengan pihak berminat meneruskan pencarian pesawat hilang Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Katanya, beliau sudah mengarahkan kementeriannya mempelawa Ocean Infinity bagi memberi taklimat berhubung cadangan terbaharu mereka “tiada hasil, tiada bayaran” untuk mencari MH370.

Katanya, beliau sedia menemui wakil syarikat itu pada bila-bila masa mereka ke negara ini.

Menurutnya, kerajaan kekal konsisten dengan pertimbangan akan diberikan kepada operasi pencarian baharu, apabila maklumat dan bukti boleh dipercayai dipastikan.

“Sebagai kementerian yang mewakili kerajaan Malaysia, pencarian akan diteruskan (apabila maklumat baharu dan bukti boleh dipercayai dipastikan).

“Saya berjanji akan melakukan semua yang boleh untuk mendapatkan kelulusan Kabinet, menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk memulakan siasatan semula secepat mungkin (bergantung kepada hasil mesyuarat),” katanya sempena Majlis Memperingati MH370 Ke-10 di sini.

Beliau berharap sebarang pencarian baharu akan menemui sesuatu bagi memberi penutupan kepada waris mangsa MH370.

“Tiada apa boleh menggantikan kehilangan orang tersayang. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan saudara-mara, keluarga dan rakan,” katanya sambil menambah Malaysia menyokong usaha Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa mengukuhkan pengesanan pesawat global.

“Perubahan bermakna telah dibuat untuk mengelakkan tragedi ini berulang, tetapi saya juga sedar tugas itu belum selesai,” katanya sambil menambah Putrajaya belum berhubung dengan kerajaan Australia mengenai pencarian baharu, tetapi akan menghubungi mereka sebaik sahaja Ocean Infinity memuktamadkan cadangannya.

Pesawat MH370 yang membawa 229 penumpang dan 12 kru hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Punca kehilangannya belum diketahui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.