Jangan naik harga, peniaga tak babit kenaikan SST diingatkan

Jangan naik harga, peniaga tak babit kenaikan SST diingatkan

Fuziah Salleh berharap orang ramai lebih peka dengan maklumat berkaitan SST dan membuat aduan kepada KPDN jika berdepan masalah kenaikan harga barang.

Fuziah Salleh berkata, tindakan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.
KUALA LUMPUR:
Peniaga tidak terbabit kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diingatkan jangan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan bagi mengaut keuntungan lebih.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, tindakan itu tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

“Pengguna harus tahu kategori apa yang dinaikkan SST. Ia ada banyak (kategori), tapi yang kita buat Ops Kesan ini ada empat, perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar dan juga perkhidmatan dobi.

“Kita pantau Ops Kesan ini empat dan kita cari kedai yang nilai ambangnya lebih daripada RM500,000, bukannya yang kecil-kecil. Jadi, bukan semua yang naik dan juga orang ramai harus tahu makanan dan minuman tidak termasuk kenaikan SST,” katanya selepas sesi jelajah mesra di Karnival Jualan Rahmah Madani Pahang di Dataran Anjung Pusat Bandar Jengka di sini.

Beliau berharap orang ramai lebih peka dengan maklumat berkaitan SST dan mereka yang menghadapi masalah berkaitan kenaikan harga barangan boleh membuat aduan melalui WhatsApp 019-848 000, memuat turun aplikasi EZ Aduan KPDN, menghubungi hotline KPDN 1-800-88-800 atau melayari portal E-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my.

Sejak Ops Kesan dilancarkan 1 Mac lalu, katanya, lebih 1,000 pemeriksaan dilakukan KPDN di seluruh negara dan 26 notis dikeluarkan kepada peniaga yang melakukan kesalahan.

Di Kelantan, Pengarah KPDN negeri, Azman Ismail berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga, termasuk di bazar Ramadan jika terbukti mereka terlibat pencatutan.

Katanya, meskipun peniaga makanan seperti di bazar Ramadan tidak terlibat secara langsung dengan kenaikan SST daripada 6% kepada 8%, namun pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan.

Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya, peniaga tidak boleh mengambil keuntungan melebihi 50% daripada kos.

“Sekiranya ada peniaga terlibat dengan menaikkan harga jualan sewenang-wenangnya, kami akan mengambil tindakan selaras akta diperuntukkan.”

Di Perlis, KPDN membuat pemantauan harga barang secara berterusan untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga selepas pelaksanaan kadar baharu SST bermula Jumaat lepas.

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar berkata, Ops Kesan juga mula dilaksanakan pada hari sama melibatkan industri perhotelan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata KPDN memulakan Ops Kesan 2024 bermula 1 Mac lalu bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan SST, dengan fokus pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mencatut atau menaikkan harga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.