
Beliau berkata, kerajaan secara prinsip bersetuju melaksanakan Pelepasan Banduan Secara Berlesen menerusi kaedah itu bagi mereka yang layak, lapor Bernama.
Saifuddin berkata, pihak kementerian kini dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan inisiatif itu dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan bagi memastikan sama ada akta serta peraturan sedia ada perlu digubal atau tidak.
“Perlu disemak apakah ia memadai dengan meminda undang-undang sedia ada atau ada keperluan untuk gubal undang-undang baharu di bawah kuasa ketua pengarah penjara atau menteri KDN.
“Saya tugaskan ketua setiausaha KDN (Ruji Ubi) untuk buat semakan dan beri maklum balas…perkara ini mesti disegerakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 Kompleks Penjara Puncak Borneo, Sarawak.
Menurutnya, penghuni penjara yang terlibat bagi program berkenaan terdiri individu berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya, dan ibu mengandung.
“Kalau yang disabitkan kesalahan itu melibatkan mereka dari kategori ini, kita lihat adalah lebih manusiawi kalau letak mereka di luar dan bukan dalam tembok (penjara) jadi untuk itu mereka boleh kita pasangkan gajet kepada mereka untuk kita laksanakan ‘home detention’,” katanya.
Saifuddin berkata, menerusi program sedemikian seperti sistem parol, perintah kehadiran wajib serta program pemulihan pemasyarakatan, kerajaan bukan sahaja dapat menangani masalah kesesakan penjara malah ia sebagai langkah penjimatan kepada negara.
Katanya, program dijalankan sebelum ini memberi impak positif dengan statistik menunjukkan daripada 800 yang dibebaskan, hanya seorang dimasukkan semula ke penjara.
Pada 9 Okt tahun lalu, Saifuddin ketika memberitahu Dewan Rakyat berkata Jabatan Penjara merancang melaksanakan tahanan rumah dengan lebih 16,000 penghuni penjara layak dipertimbang.