
Dalam kenyataan KPDN berkata, harga barangan akan dipantau dan Bahagian Penguat Kuasa KPDN melaksanakan Ops Kesan (sektor perkhidmatan) bermula semalam.
“Ia bagi mengesan sebarang aktiviti kenaikan harga kesan perubahan SST sebanyak 2%. Ops Kesan ini disasarkan dan dilaksanakan ke atas semua sektor yang mengalami perubahan kadar cukai perkhidmatan di seluruh negara,” katanya.
Menurut kenyataan, langkah penguatkuasaan itu akan ditumpukan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, bagi mengesan sebarang tindakan mencatut atau menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa telah dimobilisasi dan akan memberi keutamaan siasatan bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna.
“Semua pihak diingatkan mematuhi perundangan sedia ada dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga atau mencatut,” katanya.
Katanya, pihak didapati melakukan kesalahan mencatut boleh didenda sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.
Pengguna boleh membuat aduan jika berlaku pencatutan harga melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1 800 886 800 dan WhatsApp 019 8488000 atau 019 2794317.