
Pengerusinya, Ismail Salleh berkata, Mada sentiasa memantau dan mengikuti laporan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bagi memanfaatkan Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning.
“Bagi tujuan pengairan kawasan Mada, kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan penggiliran pengairan kawasan pertanian padi.
“Apabila selesai pengairan di kawasan memerlukan, kita akan alihkan pengairan ke kawasan lain yang memerlukan bekalan air secara berperingkat,” katanya menurut Sinar Harian.
Rabu lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) meminta penduduk di Pokok Sena, Kedah berwaspada terhadap gelombang haba tahap dua di daerah itu kerana ramalan suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius.
MetMalaysia melaporkan suhu pada waktu siang di Pokok Sena boleh turun naik antara 37 hingga 40 darjah Celsius dalam tempoh tiga hari, manakala Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star dan Langkawi pula diramalkan antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sama.
Ismail berkata, Mada bersedia menggerakkan lebih 1,000 pam statik dan mudah alih untuk membantu pengairan sawah yang memerlukan bekalan air.
Menurutnya, kesan cuaca panas ketika ini turut memberi kesan kepada proses pendebungaan padi.