
Beliau menjawab dakwaan itu yang berbangkit susulan banyak kerusi kosong kelihatan ketika sesi pembentangan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sejak program itu bermula semalam.
Asyraf berkata walaupun kelihatan tidak begitu meriah kerana tiada kerahan untuk menyertai kongres ini, kebanyakan yang hadir terdiri daripada wakil dewan perniagaan pelbagai kaum.
“Yang penting ialah kualiti peserta, yang datang ialah daripada dewan perniagaan, tidak ada kerahan mana-mana pihak.
“Mereka (yang hadir) ini organik, yang datang itu beri respon positif. Kita undang pelbagai dewan perniagaan dan persatuan peniaga. Pemimpin parti ada sebahagian pemimpin utama sahaja,” katanya ketika ditemui selepas tamat hari kedua KEB2024.
KEB2024 bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping akan mencadangkan pendekatan menyeluruh.
Berdasarkan anggaran penganjur, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, seramai 3,000 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka menghadiri kongres tiga hari itu.
Kemuncak KEB2024 pada Sabtu akan dimulakan dengan pembentangan laporan oleh 10 pengerusi libat urus, diikuti sesi bual bicara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bertajuk aspirasi masa hadapan Bumiputera.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menutup kongres itu dan beliau akan menerima laporan sesi libat urus KEB2024.