Tiket mahal Borneo-KL halang integrasi kaum, kata Ahli Parlimen

Tiket mahal Borneo-KL halang integrasi kaum, kata Ahli Parlimen

Richard Riot Jaem mendakwa tiket penerbangan sehala Batik Air dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk 3 Mac berharga RM2,546.46.

Ahli Parlimen Serian, Richard Riot Jaem berkata tiket penerbangan dua hala antara Kuala Lumpur dan Adelaide lebih murah daripada tambang antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen dari Sarawak menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap trend tiket penerbangan mahal antara Malaysia Timur dan Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mendakwa hasil semakannya mendapati tiket penerbangan sehala Batik Air dari Kuching ke Kuala Lumpur untuk 3 Mac berharga RM2,546.46.

Katanya, tiket penerbangan mahal mungkin menyekat integrasi antara wilayah kerana rakyat dari Semenanjung mungkin sukar melakukan perjalanan ke Sabah, Sarawak atau sebaliknya.

“Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan harus perlu meneliti isu ini. Perlu ada cara untuk mengurangkan kos perjalanan udara yang sangat tinggi.

“Saya rasa kosnya sekitar RM1,050 dari sini ke Adelaide. Penerbangan dua hala sekitar RM2,000. Tetapi, kita perlu berbelanja RM5,000 dari Kuching ke Kuala Lumpur (dan sebaliknya). Ini keterlaluan,” katanya ketika membahas titah Diraja di Dewan Rakyat.

Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan kementeriannya untuk memberi subsidi pembelian tiket penerbangan sehala kelas ekonomi melebihi RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi perayaan Krismas.

Katanya, dasar itu akan diguna pakai bagi musim perayaan lain seperti Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai selama tiga hari setiap satu.

Selasa lalu, Loke berkata, melanjutkan tambang maksimum RM599 daripada tiga hari kepada dua minggu bagi Aidilfitri akan membawa kos besar kepada kerajaan.

Menurutnya, inisiatif itu diambil kementeriannya tanpa dana khusus daripada Kementerian Kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.