Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful, kata Azam

Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful, kata Azam

Ia susulan pendedahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa ditawarkan 'habuan' termasuk RM1.7 juta untuk kawasan Parlimennya bagi menyokong Anwar Ibrahim.

Azam Baki berkata, lebih baik Wan Saiful Wan Jan ke SPRM untuk membuat laporan berhubung dakwaannya ditawarkan habuan ketika didesak untuk menyokong perdana menteri.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pegawainya menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berhubung dakwaannya ditawarkan “habuan” ketika didesak untuk menyokong perdana menteri.

“Tiada pegawai SPRM menghubunginya. Mungkin orang lain yang melakukannya,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, lebih baik wakil rakyat Bersatu itu ke SPRM untuk membuat laporan berhubung dakwaannya.

“Itulah yang sepatutnya dilakukan beliau atau mana-mana rakyat Malaysia yang ditawarkan rasuah.”

Semalam, Wan Saiful dilaporkan berkata, beliau menerima mesej daripada pegawai SPRM yang memintanya menghubungi mereka sejam selepas menyampaikan titah Diraja di Dewan Rakyat.

Beliau dalam perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat mendedahkan ditawarkan “habuan” termasuk RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya bagi menyokong Anwar.

Wakil rakyat Perikatan Nasional itu mendakwa beliau dihubungi seseorang yang tidak dinamakan untuk mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kali pertama pada 17 Jan lalu dan terbaru selepas istiadat perasmian Parlimen Isnin lalu.

Wan Saiful mendakwa sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri, beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimennya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.