Perhimpunan Bersih akan ‘senyap’ tanpa sokongan politik, kata penganalisis

Perhimpunan Bersih akan ‘senyap’ tanpa sokongan politik, kata penganalisis

Bagaimanapun, bekas ketua Bersih Maria Chin Abdullah percaya perhimpunan Selasa lalu permulaan yang baik dan disertai ramai golongan muda.

Perhimpunan Bersih di luar Parlimen pada Selasa lalu hanya disertai kira-kira 100 peserta.
PETALING JAYA:
Dengan perhimpunan Bersih pada Selasa lalu hanya menarik kumpulan kecil kira-kira 100 peserta, seorang penganalisis menjangkakan masa depan perhimpunan itu akan “senyap” melainkan ia disokong parti politik utama.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata kejayaan Bersih dalam menarik ramai hingga 50,000 orang di pusat bandar Kuala Lumpur pada masa lalu sebahagiannya disebabkan sokongan PAS, sebuah parti yang terkenal dengan kebolehannya untuk menggerakkan pengikut akar umbinya.

“Jika anda ingin perhimpunan besar, anda perlu sekurang-kurangnya satu parti politik utama untuk membawa keluar ahli mereka, ditambah disokong semua NGO utama. Hanya dengan cara ini anda boleh membawa ramai orang,” katanya kepada FMT.

Chin juga berkata pemilihan waktu untuk mengadakan perhimpunan adalah penting, dan perhimpunan perlu dipanggil hanya apabila isu besar melanda negara.

James Chin.

“Pada masa ini, tiada (isu besar) selain daripada kenaikan kos sara hidup, yang wujud sepanjang tahun, menjadikannya sukar untuk menarik sokongan.

“Ini juga masa yang tidak sesuai kerana orang tidak berminat dengan banyak isu yang Bersih bangkitkan,” katanya yang menambah perhimpunan di luar Parlimen semalam “dibuat pada saat akhir”, menyebabkan Bersih tidak cukup masa untuk mengumpulkan sokongan.

Bagaimanapun, bekas ketua Bersih Maria Chin Abdullah, yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, tidak kecewa, dan berkata beliau percaya ia adalah satu kehadiran yang baik walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

Katanya, kebanyakan peserta perhimpunan adalah golongan muda, mencerminkan keinginan generasi muda untuk melihat Putrajaya melaksanakan reformasi dengan segera.

Maria Chin Abdullah.

“Jika anda mengharapkan ribuan peserta hadir seperti sebelum ini, saya rasa itu tidak realistik. Sebelum ini ia juga bermula dari bawah. Mungkin sekarang adalah permulaan, dan jika tiada reformasi lebih ramai akan datang.

“Mendapat peserta baru sudah cukup baik. Ia mungkin lebih kecil jumlahnya tetapi ia menunjukkan kepimpinan (dari golongan muda),” kata bekas ADUN Petaling Jaya itu.

Bersih mengadakan protes sejak 2007 untuk membangkitkan dakwaan pilihan raya tidak adil. Ia juga mengadakan perhimpunan pada 2015 dan 2016 berkaitan skandal 1MDB.

Perhimpunan Bersih 2.0 yang ikonik pada 2011 menyaksikan anggaran 50,000 orang berkumpul di pusat bandar Kuala Lumpur, dengan lebih daripada 1,000 ditangkap.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Bersih akan berdepan kesukaran mengadakan perhimpunan besar lagi yang menarik ribuan orang tanpa adanya kontroversi rasuah besar atau kerajaan yang menindas.

Oh Ei Sun.

“Apa yang dipanggil kurangnya reformasi mungkin tidak sebegitu mendesak dalam fikiran orang ramai seperti dana awam yang diseleweng,” katanya, merujuk kepada skandal 1MDB.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menjangkakan ada perbezaan pendapat dalam Bersih mengenai perhimpunan menentang kerajaan perpaduan.

Katanya, sebahagian dalam Bersih memahami dilema Pakatan Harapan susulan perkongsian kuasa dengan Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah.

Awang Azman Pawi.

Katanya, reformasi yang didesak oleh Bersih akan mengambil masa untuk dilaksanakan, dan Putrajaya kini dibebani dengan tugas yang lebih mendesak.

Awang Azman berkata reformasi berjalan perlahan kerana ia memerlukan komitmen semua komponen dalam kerajaan perpaduan.

“Saya fikir Bersih perlu memberi tumpuan kepada bagaimana untuk mencapai kerjasama dalam kerajaan perpaduan untuk memastikan reformasi boleh dilakukan,” kata Awang Azman.

Katanya, Bersih berisiko dilihat sebagai kehilangan daya tarikan dan menjadi tidak relevan jika tidak dapat menarik ramai orang dalam masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.