LKSA sedia laluan alternatif berkesan, jana ekonomi tempatan

LKSA sedia laluan alternatif berkesan, jana ekonomi tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Azlan Abdullah berkata lebuh raya yang dibuka sejak lebih 13 tahun lalu itu menjadi penjana pertumbuhan signifikan untuk Shah Alam.

Plaza Tol Alam Impian, laluan utama ke kawasan Alam Impian, Shah Alam. (Gambar Prolintas)
PETALING JAYA:
Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) telah membawa impak positif terhadap Shah Alam dengan menambah baik rangkaian pengangkutan jalan raya dan menjana ekonomi tempatan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas Azlan Abdullah.

Katanya, sebelum pembukaan lebuh raya berkenaan pada 2010, keadaan trafik di Shah Alam agak membimbangkan susulan pertumbuhan pesat populasi penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Setelah LKSA siap dibina dan beroperasi lebih 13 tahun lalu, ia membantu untuk mengimbangi pertumbuhan penduduk serta menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas yang meruncing.

“Lebuh raya ini meningkatkan kesalinghubungan serta menambah baik laluan perjalanan antara Shah Alam dan Kota Kemuning.

LKSA sepanjang 14.7 kilometer menghubungkan Kota Kemuning ke Lebuhraya Persekutuan. (Gambar Prolintas)

“Dengan enam persimpangan terancang termasuk akses terus ke kawasan Alam Impian seluas 1,200 ekar, laluan alternatif penting ke Kota Kemuning, lebuh raya dengan tiga lorong di kedua-dua hala ini melengkapkan infrastruktur pengangkutan jalan di kawasan itu,” ujarnya kepada FMT.

LKSA sepanjang 14.7 kilometer bermula dari Kota Kemuning ke Lebuhraya Persekutuan. Enam persimpangan strategiknya ialah Persimpangan Kota Kemuning, Persimpangan Jalan Bukit Kemuning, Persimpangan Alam Impian, Persimpangan Bulatan Jubli Perak, Persimpangan Bulatan Selangor dan Persimpangan Lebuhraya Persekutuan Laluan 2.

Azlan menambah pengguna setakat ini memberi maklum balas positif dan yakin manfaatnya bukan sekadar menyediakan laluan alternatif, bahkan merangsang pembandaran di Shah Alam.

“LKSA menyediakan jaringan yang lancar, menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di selatan dan Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 di utara, memberikan kemudahan diperlukan pengguna harian untuk perjalanan mereka pergi dan balik dari tempat kerja.

“Lebuh raya ini juga telah memberi kesan signifikan terhadap Bandaraya Shah Alam, bukan sahaja menjimatkan tempoh perjalanan, malah membuka ruang pembangunan di sekitar kawasan itu termasuk Alam Impian seterusnya mengukuhkan kesalinghubungan merentasi sempadan geografi,” jelas Azlan.

LKSA juga telah membuka satu hentian sebelah baharu di Alam Impian tahun lalu bagi menyediakan kemudahan untuk pengguna lebuh raya berkenaan termasuk ruang acara, Urban Park yang boleh memuatkan sehingga 800 orang pada satu-satu masa.

Beliau turut mengulangi komitmen Prolintas dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna LKSA yang semakin meningkat.

“LKSA merekodkan lebih 84,000 pengguna setahun dan kami optimis angka ini akan terus konsisten pada tahun mendatang.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami demi memastikan perjalanan yang selesa kepada semua pengguna,” katanya.

Urban Park, ruang acara yang terletak di Hentian Sebelah Alam Impian, LKSA yang boleh memuatkan sehingga 800 orang untuk sebarang majlis. (Gambar Prolintas)

Jelasnya, komitmen itu diterjemahkan dengan pemeriksaan rutin yang meliputi sambungan pengembangan, tiang, penjana tenaga, penghadang lorong jalan, permukaan jalan, sistem pencahayaan dan landskap.

Jelasnya, usaha-usaha itu bagi memastikan LKSA kekal selamat dan terus menjadi pilihan pengguna sehingga hari ini.

LKSA dibina, direka bentuk dan diselia oleh Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd, salah satu anak syarikat milikan penuh PROLINTAS menerusi Prolintas Infra Business Trust – Unit Amanah Perniagaan yang dijangka disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad dalam suku pertama tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.