Kurikulum PLKN 3.0 sedang dimuktamadkan, kata menteri

Kurikulum PLKN 3.0 sedang dimuktamadkan, kata menteri

Khaled Nordin berkata, antara aspek dinilai ialah kurikulum, pelaksanaan dan usaha antara agensi yang boleh membantu memantapkan program itu.

Khaled Nordin berkata, modul PLKN akan berasaskan 80% latihan ketenteraan dan 20% lagi unsur kenegaraan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dalam proses memuktamadkan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijangka bermula seawal tahun depan.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, antara aspek dinilai ialah kurikulum, pelaksanaan dan usaha antara agensi yang boleh membantu memantapkan program itu.

“Modul PLKN akan berasaskan 80% latihan ketenteraan dan 20% lagi (unsur) kenegaraan. Jadi, kalau nak kata ia usaha untuk mempengaruhi ataupun ada elemen politik, itu tidak benar,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan di sini.

Mengenai kuota pengambilan peserta PLKN sebelum ini, Khaled berkata, ramai peserta daripada golongan Bumiputera kerana peratusan mereka tinggi dalam negara.

“Tak mungkin boleh menampung semua sebab tempat yang ada terhad. Jadi, akan ada kriteria tertentu sebelum mereka dipilih menyertai PLKN nanti.”

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN selepas ditangguhkan lebih lima tahun dan ia akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara.

Sementara itu, 477 penerima APC, termasuk penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang yang terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan unit tentera, warga Angkatan Tentera Malaysia serta pesara awam terpilih menerima anugerah hari ini.

Khaled turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang kepada guru Maktab Tentera Diraja, Hairunisa Khalid, satu-satunya penerima kategori itu tahun ini atas kriteria pencalonan memerlukan pegawai terpilih diiktiraf aktif dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.