Hari Kraf Kebangsaan 2024 tampilkan kraf bertaraf antarabangsa

Hari Kraf Kebangsaan 2024 tampilkan kraf bertaraf antarabangsa

Hari Kraf Kebangsaan 2024 berkonsepkan 'Kraf Identiti Malaysia' kali ini melibatkan 640 usahawan kraftangan seluruh negara.

Juru demo dari Uzbekistan, Shukurova Mekhrangiz Sobirovna menunjukkan hasil ukuran logam yang diukirnya.
KUALA LUMPUR:
Empat jurudemo dari luar negara diterbangkan ke Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024, antara kelainan ditampilkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) kali ini.

Pengunjung yang hadir ke HKK 2024 berpeluang melihat demonstrasi kraf dari Republik Rakyat China, Uzbekistan, India dan Thailand selain pameran dan jualan kraf tempatan.

Sebuah arca naga seramik, diperbuat daripada tanah liat oleh jurudemo dari China.

Kelainan ini menarik perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mahu industri kraftangan terus memacu pertumbuhan ekonomi pelancongan negara.

“Industri kraftangan ada kaitan dengan pelancongan yang mana dapat menarik bukan sahaja (pelancong) dari negara China, India tetapi juga Eropah dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu industri kraftangan memacu pertumbuhan sektor pelancongan negara.

“Oleh yang demikian peranan kita (industri kraftangan) dalam memacu pertumbuhan ekonomi sangat penting,” katanya ketika merasmikan HKK 2024, Sabtu lepas.

Penganjuran HKK 2024 kali ke-21 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) tahun ini disertai 640 usahawan kraf merangkumi bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf menarik.

Hari Kraf Kebangsaan saban tahun menghimpunkan hasil kraftangan seluruh negara.

Berkonsepkan “Kraf Identiti Malaysia”, karnival yang berlangsung bermula 21 Feb hingga 4 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur itu menampilkan banyak alatan serta kelengkapan rumah, hadiah, cenderamata, fesyen dan aksesori yang  diinovasi menggunakan produk kraf tempatan.

Pengunjung yang datang berpeluang mencuba pelbagai aktiviti interaktif disediakan.

Selain jualan kraf, terdapat banyak pameran seperti Tokoh Kraf Negara 2024, Standard Kraftangan Malaysia, Kraf komuniti Ku (KKK), Pavilion Institut Kraf Negara (IKN), Produk Kraf Baharu dan Adiguru Kraf.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat dari dekat hasil kraftangan unik usahawan Malaysia.

Pengunjung juga boleh melihat secara dekat pelbagai jenis demonstrasi, antaranya anyaman dan ukiran serta hasil kerja tangan pelajar IKN.

HKK 2024 kali ini turut menyediakan pelbagai program interaktif mesra kanak-kanak antaranya mewarna batik, membentuk dan mewarna seramik.

Rumah yang sarat dengan ukiran kayu menjadi tumpuan pengunjung yang hadir.

Karnival ini turut membuka ruang kepada mereka yang mencari peluang perniagaan membabitkan kraftangan tempatan dengan penganjuran seminar kraf, padanan perniagaan serta lawatan berpandu berkumpulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.