Restoran makanan segera kotor di JB diarah tutup 14 hari

Restoran makanan segera kotor di JB diarah tutup 14 hari

Pengarah kesihatan negeri berkata, ia susulan pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Johor ke atas premis itu pada 22 Feb lalu.

Notis perintah penutupan restoran makanan segera dalam sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam, Masai mulai 22 Feb hingga 7 Mac ini yang tular di media sosial.
PETALING JAYA:
Sebuah restoran makanan segera di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru diarahkan tutup 14 hari kerana keadaan premis kotor dan pekerja tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata, tindakan itu menyusul pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ke atas premis terbabit pada 22 Feb lalu.

“Hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru mendapati kebersihan premis berkenaan dalam keadaan kotor dan tidak memuaskan.

“Selain itu, majoriti pekerja tidak dapat menunjukkan bukti hadir kursus pengendali makanan yang bersih dan selamat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, dua sebab itu antara punca kebersihan premis diabaikan dan arahan penutupan 14 hari untuk pengusaha melakukan kerja pembersihan segera serta semua pekerja wajib menghadiri kursus pengendali makanan.

Terdahulu, tular di media sosial notis perintah penutupan restoran makanan segera dalam sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam dengan tarikh penutupan mulai 22 Feb hingga 7 Mac ini.

Sementara itu, Mohtar memberi amaran kepada semua pengusaha premis makanan supaya mematuhi Akta Makanan 1983, jika gagal berbuat demikian, mereka boleh diarahkan menutup premis dan didenda sejajar peruntukan di bawah akta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.