
Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz berkata kerajaan boleh mencontohi Arahan Waktu Kerja Eropah, di mana doktor biasanya bekerja purata 48 jam seminggu, manakala doktor di Australia pada umumnya bekerja antara 35 hingga 38 jam seminggu.
Katanya, ia sangat berbeza dengan waktu kerja doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara.
“Doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia melakukan ‘on-call’ aktif di jabatan seperti perubatan, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, ortopedik, pediatrik dan anestesiologi, purata bekerja antara 60 dan 84 jam seminggu, bergantung kepada sumber tenaga manusia,” katanya dalam kenyataan.
Azizan berkata, pegawai dan pakar perubatan sering berdepan jadual kerja sehingga 33 jam tanpa rehat apabila bertugas ketika “on-call”.
“Ini tidak boleh diteruskan. Kita tidak boleh mengharapkan doktor akan melakukan yang terbaik dan memberikan hasil terbaik apabila mereka bekerja dengan masa tidak munasabah ini.
“Jika keadaan ini berterusan, lebih ramai doktor penjagaan kesihatan awam akan meletak jawatan atau ke sektor swasta atau merebut peluang di negara lain.”
Selain lesu upaya, katanya, waktu kerja berpanjangan akan meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung, strok dan kematian pramatang.
“Jumlah doktor yang meninggalkan penjagaan kesihatan awam tidak patut dipandang ringan kerana lebih 70% populasi bergantung kepada penjagaan kesihatan awam untuk keperluan kesihatan mereka.
“Jika dibiarkan, penjagaan kesihatan kita akan berdepan keruntuhan.”
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad hari ini mendedahkan lebih separuh daripada 100,696 pegawai perubatan dalam negara meninggalkan sektor awam pada 2022.
Katanya, tinjauan Kementerian Kesihatan mendapati 45% daripadanya kini bekerja di luar negara.