KPKM bangunkan penanaman bawang untuk kurang kebergantungan import

KPKM bangunkan penanaman bawang untuk kurang kebergantungan import

Program itu akan dilaksanakan dalam 2 fasa, iaitu fasa prakomersial bermula tahun ini hingga tahun depan, dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.

Program Pembangunan Tanaman Bawang yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula hingga 2030 dijangka dapat mengurangkan import bawang negara sebanyak 30%, kata Mohamad Sabu.
KUALA LUMPUR:
Program Pembangunan Tanaman Bawang yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini hingga 2030 dijangka dapat mengurangkan import bawang negara sebanyak 30%, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa prakomersial bermula tahun ini hingga tahun depan, dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.

Fasa prakomersial, katanya, bertujuan menerokai potensi penanaman bawang kecil di Malaysia dengan 70 tan metrik benih bebawang kecil dan 230kg biji benih bawang kecil akan dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Menurutnya, kawasan penanaman bawang seluas 100 hektar akan dibangunkan dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak lima tan metrik per hektar dalam fasa prakomersial itu.

“Penanaman bawang ini boleh dilaksanakan sebanyak dua kali setahun. Dijangkakan pengeluaran bawang bagi fasa (prakomersial) ini adalah sebanyak 1,000 tan metrik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta perincian usaha-usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30%.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, fasa komersial program itu pula akan melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,347 hektar dan dijangka menghasilkan sebanyak 14,470 tan metrik bawang.

Program berkenaan hanya akan melibatkan tanaman bawang kecil kerana Mardi masih belum menjumpai varieti bawang besar dan bawang putih yang sesuai untuk ditanam di Malaysia, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.