Kebimbangan tanah runtuh di Cameron Highlands ‘dibesar-besarkan’, kata pengusaha

Kebimbangan tanah runtuh di Cameron Highlands ‘dibesar-besarkan’, kata pengusaha

Allan Ng dan Bobby Kyle berkata, maklumat salah yang disebarkan dalam talian menyebabkan pelancong menjauhkan diri.

Penduduk tempatan berpendapat, pembangunan tidak perlu dilakukan secara keterlaluan di Cameron Highlands kerana berpotensi menjejaskan keindahan semulajadi kawasan tanah tinggi itu.
CAMERON HIGHLANDS:
Pengusaha perniagaan bimbang pelancong terhalang daripada melawat Cameron Highlands disebabkan salah faham mengenai keselamatan di destinasi pelancongan paling popular di Pahang itu akibat tanah runtuh.

Allan Ng, pengusaha kedai runcit dan cenderamata di Tanah Rata memberitahu FMT, masalah itu “dibesar-besarkan” oleh segelintir warganet.

Sebagai contoh, katanya, penutupan jalan baru-baru ini di Jalan Tapah-Ringlet didakwa akibat tanah runtuh sedangkan ia sebenarnya dibuat untuk memasang saluran paip.

“Jika anda pelancong tempatan, anda akan rasa, oh terlalu bahaya untuk datang ke (Cameron Highlands). Jadi itu menjejaskan jumlah pelancong,” katanya.

Bobby Kyle, pemilik ladang strawberi generasi ketiga turut bersetuju dengan berkata, jumlah pengunjung ke ladangnya berkurangan dengan ketara selepas tersebarnya berita baru-baru ini mengenai tanah runtuh kecil yang berlaku.

“Minggu lepas, kami langsung tiada pengunjung sedangkan sekarang cuti sekolah,” katanya menambah, pelancong mungkin bimbang walaupun tanah runtuh itu berlaku jauh dari ladangnya.

Banyak kejadian tanah runtuh berlaku di Cameron Highlands sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya empat kejadian dilaporkan pada 2023.

Tahun ini saja dua kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku, iaitu pada 26 Jan di Blue Valley yang meragut lima nyawa, dan satu lagi berlaku seminggu sebelumnya memaksa Jalan Boh Habu ditutup.

Tanah runtuh lazim dianggap berlaku disebabkan pembangunan yang keterlaluan, namun perkara ini dinafikan oleh pengusaha perniagaan.

Tan, 47, pemilik kedai di Agro Market Brinchang berkata, pembangunan perlu dilaksanakan untuk menarik pengunjung dan memastikan kelangsungan perniagaan tempatan.

“Jika sesebuah kawasan tidak dibangunkan, ia akan kehilangan prospek dan daya hidup. Jika tidak dibangunkan, kawasan itu tidak akan menjadi elok. Pembangunan itu bagus,” katanya.

Bagaimanapun, penduduk tempatan berkata, pembangunan tidak perlu dilakukan secara keterlaluan kerana berpotensi menjejaskan keindahan semulajadi kawasan tanah tinggi itu, yang terkenal dengan landskapnya yang subur dan iklim sejuk.

Pemandu pelancong, Rani, 49, memberi amaran terhadap pengkomersialan berlebihan kawasan tanah tinggi itu.

“Ada pelancong seperti dari Jepun dan Eropah yang sukakan alam semulajadi,” katanya.

Rani mengakui pembangunan sesuatu yang perlu, namun katanya, ia mesti disasarkan terhadap mewujudkan sesuatu yang “bermakna”.

“Jangan bina terlalu banyak bangunan,” katanya.

Sebaliknya, Rani berkata, pihak berkuasa patut lebih mengkhususkan kepada pembaikan prasarana dan kemudahan untuk menampung lalu lintas yang semakin meningkat di kawasan itu, termasuk menyediakan lebih banyak kemudahan meletak kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.