70% dirawat di pusat rehabilitasi Perkeso kembali bekerja

70% dirawat di pusat rehabilitasi Perkeso kembali bekerja

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata seramai 10,695 individu mendapatkan rawatan di pusat itu dari 2019 hingga Januari.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata mereka yang layak untuk dapat rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso terdiri daripada dua kategori iaitu 90% pencarum dan 10% bukan pencarum. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 70% daripada 10,695 individu yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh 2019 hingga Januari lalu berjaya kembali ke alam pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata daripada jumlah yang mendapatkan rawatan berkenaan, seramai 494 adalah mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Mereka yang layak untuk dapat rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso terdiri daripada dua kategori iaitu 90% pencarum dan 10% bukan pencarum Perkeso,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Richard Riot (GPS-Serian) berkenaan jumlah mereka yang berjaya mendapat pekerjaan semula, serta kriteria untuk layak mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi terbabit.

Pusat Rehabilitasi Perkeso dibina untuk membantu orang berinsurans Perkeso dan golongan pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional sehingga akhirnya kembali ke alam pekerjaan dan masyarakat dengan keupayaan yang maksimum.

Menjawab soalan tambahan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) sama ada kerajaan bercadang membina hospital keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Sim berkata rancangan pembinaan dan naik taraf pusat rehabilitasi menjadi hospital perlu dibincang dan mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan.

Menjawab soalan asal Richard yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membina pusat rehabilitasi di Sarawak, beliau berkata kerajaan sememangnya merancang untuk menambah tiga lagi pusat rehabilitasi dalam tempoh lima tahun akan datang dan Sarawak dialu-alukan untuk bekerjasama dalam merealisasikan hasrat itu.

“Kementerian bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut berkaitan lokasi dan keperluan semasa dan kerjasama dengan kerajaan Sarawak memandangkan pembangunan pusat rehabilitasi ini melibatkan kos yang besar,” katanya.

Menurut Sim, Perkeso juga memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 5 Ogos 2022 bagi menyediakan program rehabilitasi serta kemudahan berkaitan rehabilitasi di negeri itu menerusi penyediaan kemudahan berkenaan di hospital pengajar UNIMAS.

Beliau berkata bagi tempoh Ogos 2022 hingga 31 Jan lepas, 18 kes telah dirujuk ke UNIMAS dengan sembilan daripadanya telah kembali bekerja, lapan selesai menjalani rawatan rehabilitasi dan seorang masih menjalani rawatan pemulihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.