Wakil rakyat pembangkang keluar Dewan bantah PM dibenar berucap

Wakil rakyat pembangkang keluar Dewan bantah PM dibenar berucap

Speaker Dewan Rakyat juga arah Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim 'rehat' empat hari.

PM Anwar Ibrahim membantah keras tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan ekoran ucapan tahniahnya kepada Agong.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan membantah keputusan Speaker Johari Abdul membenarkan perdana menteri mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Johari turut mengarahkan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim “direhatkan” selama empat hari.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan beberapa pemimpin pembangkang lain membantah tindakan Johari membenarkan Anwar memberikan ucapan tahniah itu yang menurut mereka sepatutnya dilakukan pada permulaan sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Hamzah (PN-Larut) berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini seorang perdana menteri menyampaikan ucapan sebegitu apabila perbahasan titah baginda sudah dimulakan dalam Dewan.

Anwar yang membantah keras tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan itu menjelaskan beliau tidak dapat berbuat demikian pada permulaan sidang kerana sedang bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, yang berada di sini untuk lawatan rasmi.

Sebelum itu, Hamzah menegaskan bahawa beliau dan Ahli Parlimen pembangkang lain berpendapat ucapan tahniah oleh perdana menteri itu dibuat bukan pada waktu yang sesuai.

“Pencadang dah cakap semua, tiba-tiba tengah-tengah berhenti nak cakap terima kasih pasal apa.

“Jangan buat di luar sana nampak kita bangkang sahaja. Bukan nak bangkang tetapi ikut peraturan yang ada. Esok (Ahli Parlimen) Tambun nak gulung habis, tak apa,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar meneruskan ucapannya itu dan berkata memohon membuat ucapan itu pada sesi petang Dewan Rakyat.

“Kalau nak cakap terima kasih kepada mantan Agong setelah akhir sidang itu, tak munasabah. Sepatutnya dibuat pagi tadi saya setuju.

“Tetapi untuk pembangkang bantah, (ini) menunjukkan sikap tidak sopan dan tidak hormati institusi Agong,” kata Anwar, yang menyifatkan tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang itu sebagai bermotifkan “dendam kesumat” dan “cemburu buta”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.