
Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu peletakan jawatan pegawai kanan LTAT akan dibangkitkan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Menteri Pertahanan Khaled Nordin.
Khlir ingin mendapatkan penjelasan mengenai langkah yang diambil susulan peletakan jawatan pegawai berkenaan.
Dalam sesi itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) juga akan membangkitkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengenai status peruntukan RM50 juta bagi pembinaan pangsapuri kos rendah untuk menempatkan penduduk Flat Taman Sri Berembang Port Klang, yang diisytiharkan tidak selamat diduduki.
Pada sesi soal jawab lisan pula, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dijadual meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan usaha diambil dalam melindungi keabsahan undang-undang enakmen syariah negeri terutamanya daripada serangan terancang litigasi strategik.
Dr Richard Rapu (GPS-Betong) pula akan bertanyakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali mengenai keberkesanan inisiatif diambil Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Manakala, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) turut meminta perdana menteri menyatakan usaha diambil mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dan bantuan serta pembelaan diberikan kepada mangsa penipuan.
Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula dijadualkan untuk bertanya kepada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengenai perincian dan implikasi pemberian konsesi tambahan baharu bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit selama 30 tahun.
Usai sesi soal jawab, Azli Yusof (PH-Shah Alam) akan mengemukakan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja yang kemudiannya akan menyaksikan Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam membahaskan Titah Diraja yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, semalam.
Berdasarkan takwim, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Manakala, pembentangan serta pembahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.