
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Tania Scivetti untuk penangguhan kerana Shafee tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.
“Shafee tidak sihat dan akan bertemu doktor hari ini untuk mengetahui keadaannya kerana mengalami palpitasi (keadaan berdebar-debar). Semoga esok beliau sihat dan boleh menghadiri prosiding,” kata Scivetti.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan itu dan mencadangkan tarikh tambahan untuk menggantikan perbicaraan hari ini pada Mac (14, 15 dan 27) serta 1 hingga 5 April.
Hakim bersetuju dengan tarikh itu dan memerintahkan perbicaraan bersambung esok.
Najib, 70, berdepan empat tuduhan, iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.