
Menurut The Commune, Biro Risikan India (IB) menyiasat sama ada dana berkenaan dilaburkan dalam kuari dan pembinaan rumput tiruan yang didakwa mempunyai kaitan dengan koloni berkenaan.
Portal berita itu yang memfokuskan isu sosial dan politik di India selatan khususnya Tamil Nadu, tidak menamakan kumpulan terlibat mahupun sumber pembiayaan.
Menurut laporannya, pelbagai institusi di daerah Wayanad kini dalam pemantauan IB, dengan tumpuan khusus diberikan terhadap kaitan yang mungkin wujud antara koloni dan kuari berkenaan.
Menurut The Commune, laporan IB itu yang telah diserahkan kepada jabatan keselamatan dalam negeri India, mendakwa koloni berkenaan diwujudkan dengan berhati-hati dan menunjukkan amalan IS sebagaimana dilihat di wilayah seperti Syria serta Afghanistan.
“Koloni berkenaan dibangunkan dengan membeli tanah serta membina struktur tertutup, dan beroperasi sebagai komuniti yang berdikari.
“Kemudahan yang ada dalamnya termasuk madrasah dan sekolah agama, dan keseluruhannya beroperasi dengan tahap kerahsiaan tinggi, serta menyekat kemasukan orang luar. Laporan IB mendakwa bahawa pembiayaan koloni berkenaan datang dari Malaysia,” menurut laporan portal itu.
Menurutnya, hanya keluarga Muslim terpilih dibenarkan tinggal di koloni berkenaan, dengan peraturan ketat yang melarang orang luar membeli atau memasuki kawasan di situ.
FMT menghubungi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Bukit Aman dan IB untuk ulasan lanjut.