Bekas speaker DUN Kedah meninggal dunia

Bekas speaker DUN Kedah meninggal dunia

Md Rozai Shafian, yang juga bekas Adun Sungai Tiang, Pendang, meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat komplikasi dalaman.

Bekas Speaker DUN Kedah Md Rozai Shafian meninggalkan isteri, Khalijah Ghazali dan enam anak.
ALOR SETAR:
Bekas Speaker DUN Kedah Md Rozai Shafian meninggal dunia pada 11.40 malam tadi pada usia 69 tahun akibat komplikasi dalaman di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Anaknya, Anas Aidi berkata, kesihatan bapanya merosot sejak dua minggu lepas dan beliau dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta sebelum dipindahkan ke HSB.

“Arwah bapa sepatutnya menjalani satu prosedur perubatan tetapi tidak dapat diteruskan berikutan keadaannya yang tidak stabil sebelum dia disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya kepada pemberita.

Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin di Kobah, Pendang selepas solat Zohor hari ini.

Md Rozai yang dilantik sebagai speaker DUN Kedah dari 2013 hingga 2018 juga pernah menjadi Adun Sungai Tiang, Pendang dari 1999 hingga 2004.

Sementara itu, Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid, mewakili seluruh kepimpinan Umno Kedah, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Md Rozai.

“Sesungguhnya Umno Kedah telah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah dan juga Ketua Umno Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku speaker DUN Kedah.

“Umno Kedah turut merakamkan penghargaan atas segala jasa dan bakti Allahyarham sepanjang seusianya bersama kepimpinan Umno Kedah.

“Allahyarham merupakan sahabat lama saya yang dikenali lebih 30 tahun, saya mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin,” katanya dalam kenyataan.

Md Rozai meninggalkan isteri, Khalijah Ghazali dan enam anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.