
“Pekerja tidak formal mudah terjejas, lantas menyukarkan mereka menambah kemahiran atau memulakan perniagaan.
“Oleh itu, kerajaan harus merumus dasar-dasar yang boleh memastikan golongan ini rasa selamat dan terlindung dalam kes kemalangan atau perniagaan gagal, dan membolehkan mereka untuk terus terlibat dalam pasaran kerja,” kata pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda, ketika melancarkan laporan badan dunia itu, “Informal Employment in Malaysia: Trends, Challenges and Opportunities for Reform”.
Katanya, mengesan pendapatan lebih mudah diurus dalam landskap digital, berbanding masa lalu kerana tansaksi ketika itu lazimnya secara tunai.
Bank Dunia mentakrifkan pekerja tidak formal sebagai individu yang terbabit dalam pekerjaan yang tidak dilindungi pencen rasmi, tabung persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, atau insurans pekerjaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut laporannya, pekerja tidak rasmi cenderung mengurangkan pengambilan makanan atau meminjam wang apabila tiba-tiba berdepan masalah kewangan, memandangkan mereka tiada perlindungan mencukupi.
Ini berbeza dengan pekerja formal yang cenderung bergantung pada cara lain, seperti meminjam daripada bank atau mengeluarkan wang daripada simpanan peribadi, tabung persaraan atau simpanan pencen lain.
Matsuda berkata sesetengah pekerjaan tidak formal amat produktif, termasuk dalam ekonomi gig, yang nilainya dianggarkan RM1.33 billion pada suku ketiga 2023.
Laporan itu turut mencadangkan penubuhan suatu badan yang menghimpunkan para pemegang taruh dalam pekerjaan informal, menyediakan latihan kemahiran, dan mengizinkan platform-platform digital menyediakan insurans menerusi Perkeso bagi pekerjaan berisiko tinggi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di Kementerian Ekonomi, Zunika Mohamed, yang menghadiri pelancaran itu berkata kementerian akan melihat cadangan Bank Dunia itu sebelum Rancangan Malaysia ke-13.
“Menambah baik kebajikan pekerja tidak rasmi sentiasa menjadi keutamaan kerajaan seperti yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal RMK12,” katanya.