Pekerja Myanmar didakwa bunuh rakan senegara kerana hutang

Pekerja Myanmar didakwa bunuh rakan senegara kerana hutang

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Hasang tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk berdepan pertuduhan membunuh rakan senegara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pekerja restoran warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh rakan senegara berhubung isu hutang.

Hasang, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Myanmar di depan Majistret Aina Azahra Arifin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berkemeja-T hitam itu kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 28 Mei ini.

Lelaki itu didakwa membunuh Kyaw Kyaw di gelanggang bola keranjang, taman permainan kawasan perumahan di Bandar Manjalara, Kepong, antara 12 tengah malam hingga 4 pagi 13 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.