PEDi dikenali sebagai Nadi bermula 1 Mac

PEDi dikenali sebagai Nadi bermula 1 Mac

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) diperluaskan manfaatnya termasuk kepada golongan muda dan aktiviti serta program di luar premis.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil beramah mesra bersama dua pengunjung yang mengikuti kelas e-Tuisyen ketika melawat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Taman Gelugor Indah di Pulau Pinang baru-baru ini. (Gambar Bernama)
BARCELONA:
Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) berkuat kuasa 1 Mac, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata seiring nama baharu berkenaan, peranan kesemua 911 pusat Nadi atau PEDi sebelum ini di seluruh negara, termasuk 186 lagi yang akan diwujudkan sepanjang tahun ini, akan diperluas.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan membuat hebahan, termasuk menghubungi pengurus Nadi seluruh negara, untuk pastikan beberapa aspek penjenamaan dilakukan dengan tertib dan baik.

“Lebih daripada penjenamaan atau menamakan semula PEDi kepada Nadi, ada beberapa aktiviti yang akan direncanakan semula. Contohnya kita akan tingkatkan pemahaman di peringkat komuniti mengenai program dan inisiatif kerajaan seperti AI untuk rakyat, selain menjadikan Nadi, pusat sebaran maklumat mengenai program, aktiviti, bantuan, usaha, serta senarai bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan Pavilion Malaysia di Kongres Dunia Mudah Alih 2024 (MWC2024) yang turut dihadiri Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke MWC2024 dan dijadual menyampaikan ucaptama bagi merasmikan Pavilion Malaysia di kongres itu, yang merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association.

Fahmi berkata perencanaan semula PEDi kepada Nadi, termasuk tugas, tanggungjawab, aktiviti serta programnya itu merupakan hasil kaji selidik sepanjang tahun lepas, di mana antara dapatannya menunjukkan komuniti yang mengetahui dan hadir di PEDi sebelum ini, hanya mereka pada lingkungan dua ke tiga kilometer sahaja.

Beliau berkata ia juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu PEDi dirangka semula, bagi mengimbangi penambahan elaun diberikan kepada pengurus PEDi seperti diumum 29 Nov lepas.

“Jadi kita ambil hasrat perdana menteri, kita selaraskan berdasarkan hasil kaji selidik sepanjang 2023 untuk kita pastikan manfaat PEDi ini, dapat dirasai bukan hanya komuniti sekitar premis…Pihak MCMC dan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar, jadi kita ingin lihat jumlah ini dimanfaatkan bukan hanya satu kampung atau satu taman, tetapi lebih luas,” katanya.

Ke arah tujuan yang sama, beliau berkata bagi meluaskan manfaat Nadi termasuk kepada golongan muda, fungsinya juga akan diteliti untuk turut merangkumi aktiviti dan program di luar premis.

Fahmi berkata pihak kementerian turut sedia membantu antara lain Kementerian Pendidikan, dalam meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan rakyat, terutama masalah penipuan dalam talian serta manfaat dan bahaya media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.