LFL bidas kerajaan susulan ‘amaran’ polis berkait himpunan Bersih

LFL bidas kerajaan susulan ‘amaran’ polis berkait himpunan Bersih

Pengarah LFL Zaid Malek berkata PH kini bersikap seperti BN suatu ketika dahulu yang mengharamkan perhimpunan Bersih ketika menjadi kerajaan.

Pengarah LFL Zaid Malek mngkritik Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid, yang menurutnya tidak faham PAA dan Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kerana membenarkan polis bertindak tegas terhadap perhimpunan Bersih esok.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata, beliau mendapati tindakan keras itu mengejutkan kerana Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang menyelia polis, daripada PH.

“PH memperoleh kuasa susulan banyak perhimpunan besar-besaran Bersih yang berjaya. Pemimpin PH turut berarak bersama Bersih di jalanan, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu mengisytiharkan perhimpunan Bersih sebagai haram.

“Apabila berkuasa (sekarang), kerajaan pimpinan PH melakukan perkara yang sama (seperti BN),” katanya.

Sejak 2007, Bersih telah mengadakan beberapa protes jalanan berhubung dakwaan penyelewengan pilihan raya, selain menuntut pilihan raya yang adil. Kumpulan itu turut mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 2015 dan 2016 berhubung skandal 1MDB.

Perhimpunan ikonik Bersih 2.0 pada 2011 menyaksikan kira-kira 50,000 penunjuk perasaan berkumpul di Kuala Lumpur, dengan lebih 1,000 dilaporkan ditangkap.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, tiada notis difailkan untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan Bersih, yang bertujuan menekan kerajaan agar melaksanakan reformasi politik.

Bersih sebelum ini berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menganjurkan protes jalanan sekali lagi jika kerajaan tidak menunjukkan komitmen terhadap agenda reformasi institusi dan politiknya.

Dalam kenyataannya, Zaid turut mengkritik Allaudeen yang menurutnya tidak faham PAA dan Perlembagaan Persekutuan. Dakwaan ketua polis itu berhubung pelanggaran undang-undang menunjukkan kejahilannya, kata Zaid.

Beliau memetik keputusan penting oleh mahkamah tertinggi pada 2014 yang menetapkan bahawa Seksyen 9(5) PAA terbatal dan tidak sah.

Keputusan ini dibuat susulan kes yang dikemukakan oleh Adun Seri Setia ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang berhujah bahawa PAA melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan.

Nik Nazmi, kini pemimpin PH, didakwa mengikut Seksyen 9(1) PAA pada 17 Mei 2013 kerana gagal memaklumkan polis 10 hari sebelum perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei.

“Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes itu masih kekal dan tidak dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi,” kata Zaid.

Beliau juga berkata, kegagalan memberi notis tidak mengakibatkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang, kerana konsep perhimpunan haram tidak lagi wujud bawah peruntukan semasa PAA.

“Justeru, tiada asas untuk ketua polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Zaid menggesa polis menarik balik “ugutan” terhadap peserta perhimpunan itu dan menyeru kerajaan agar menghentikan penguatkuasaan Seksyen 9(5) PAA selaras dengan keputusan mahkamah tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.