Kastam rampas 80,000 liter diesel RM172,000

Kastam rampas 80,000 liter diesel RM172,000

Penyeludup menambah pewarna hitam dalam minyak diesel untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abdul Latiff, berkata dua lelaki tempatan ditahan dengan dua lori bernilai RM450,000 turut dirampas. (Gambar JKDM Kedah)
ALOR SETAR:
Kastam Kedah menahan dua lori tangki dengan muatan 80,000 liter bahan api itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung di Kuala Nerang.

Pengarahnya Nor Izah Abdul Latiff berkata sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung telah menahan dua lori tangki bernombor pendaftaran tempatan itu pada 9.30 pagi, 17 Feb.

“Hasil pemeriksaan awal, pasukan telah menemukan muatan yang disyaki minyak diesel sebelum kedua-dua lori berkenaan diiring dan diparkir di hadapan Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan terhadap lori pertama menemukan minyak diesel dengan anggaran 45,000 liter, manakala lori kedua anggaran 35,000 liter dengan nilai diesel dianggarkan RM172,000. Turut dirampas dua lori itu yang dianggarkan bernilai RM450,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, modus operandi untuk mengaburi pihak kastam adalah dengan membuat pengikraran yang tidak betul dalam borang eksport (Kastam 2) sebagai stok campuran minyak bahan api.

“Ia tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada duti atau cukai. Selain itu, bagi mendapatkan pelepasan terus, mereka telah menambah pewarna hitam ke dalam minyak diesel supaya warna minyak itu menjadi lebih gelap.

“Kedua-dua lelaki tempatan berusia 37 dan 48 tahun itu ditahan untuk siasatan dan kemudiannya telah dilepaskan dengan jaminan Kastam. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.